Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUANTAN: Dua lelaki ditahan selepas polis merampas 760 liter air ketum dan 355 kilogram daun ketum bernilai keseluruhan hampir RM40,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 7, Jalan Gambang, di sini, Selasa lalu.
Bridged Tenggara PGA dalam kenyataan menerusi laman rasmi memaklumkan serbuan menerusi Op Taring Mitra itu dijalankan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan kira-kira jam 11 pagi, 15 September lalu.
“Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki Melayu masing-masing berusia 33 dan 43 tahun ditahan selepas rumah berkenaan disyaki dijadikan lokasi memproses dan menjual air ketum.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan peralatan yang dipercayai digunakan untuk merebus air ketum,” kata PGA.
Menurut kenyataan keseluruhan rampasan membabitkan air ketum, daun ketum serta peralatan berkenaan dianggarkan bernilai RM39,880.
“Hasil soal siasat awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai terbabit sebagai tukang merebus dan membungkus air ketum sejak 2024 di sebuah rumah di Taman Tas, Kuantan.
“Suspek dipercayai menerima upah RM200 sehari bagi kerja berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Dalam pada itu, risikan dan pemantauan akan terus dipergiat bagi mengesan serta membanteras kegiatan memproses, menyimpan, menjual dan mengedar air serta daun ketum di sekitar Kuantan.
IMedikel TV






