Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Dua warga emas ditahan reman selama empat hari kerana disyaki terlibat dengan kes kecurian beg tangan berisi wang tunai berjumlah RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, di sini pada 1 Februari lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani terhadap suspek wanita berumur 61 tahun dan rakan lelakinya berumur 62 tahun ditahan bermula hari ini hingga 20 Februari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.
Kedua-dua suspek berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini pada jam 9.05 pagi.
Media sebelum ini melaporkan, suspek lelaki dan wanita itu ditahan ketika menaiki sebuah teksi di Jalan Sri Cemerlang, pada jam 5.04 petang, semalam.
Hasil pemeriksaan polis mendapati, suspek wanita berkenaan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk di Terengganu manakala suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 38 saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai milik pengadu berusia 59 tahun ketika majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, di sini pada jam 12.42 tengah hari, 1 Februari lalu.
IMedikel TV






