Sydney, AUSTRALIA: Dua warga Australia yang dijatuhkan hukuman mati di Vietnam diberikan pengampunan hasil hubungan diplomatik yang bertambah baik, kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, selepas lawatan rasminya ke negara Asia Tenggara itu.
“Satu kejayaan besar apabila dua warga negara ini diberi pengampunan semalam. Australia sangat berbesar hati.
“Kami menjadi representasi kepada warganegara Australia dan membuat permintaan kepada Vietnam. Vietnam setuju dengan permintaan itu, justeru kami amat berterima kasih,” katanya kepada stesen televisyen ABC, semalam.
Bagaimanapun beliau tidak akan mendedahkan nama individu yang diberikan pengampunan kerana mereka meminta untuk merahsiakannya.
Katanya, keluarga mereka sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu.
Albanese mengadakan lawatan ke Vietnam pada hujung minggu lalu bagi bertemu rakan sejawatannya, Pham Minh Chinh.
Beliau berkata, lawatan itu menjadi ‘dorongan kepada hasil keputusan yang diperoleh’.
Australia juga membuat representasi bagi pihak Chau Van Kham, 73 tahun, seorang lelaki Vietnam-Australia yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun pada 2019 oleh mahkamah Vietnam yang mendapatinya bersalah atas tuduhan ‘keganasan’.
“Itu kes berbeza. Kita cuba mengusahakan pemindahan banduan antarabangsa dan kita menaruh harapan terhadap kes itu. Jadi kita akan terus berusaha terhadap usaha itu,” katanya.
Sumber BH Online
Imedikel TV






