Home Buletin Semasa DUA SAUDARA BAHARU RASAI PENGALAMAN PERTAMA RAMADAN

DUA SAUDARA BAHARU RASAI PENGALAMAN PERTAMA RAMADAN

123
0

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pengalaman baru pada Ramadan kali menjadikan dua pemuda berbangsa Cina teruja apabila mereka melalui sendiri detik pertama berpuasa, bersahur dan menunaikan solat Tarawih selepas memeluk Islam.

Bagi Chia Yong Chern, 29, atau nama Islamnya Muhammad Ali Chia, Ramadan kali ini cukup bermakna apabila dapat menunaikan ibadah puasa sebagai seorang Muslim bersama keluarga dan isterinya.

Beliau yang memeluk Islam pada Mac tahun lalu berkata, pengalaman berpuasa sebenarnya bukan sesuatu yang asing baginya kerana sudah mencuba amalan itu sejak 2022 untuk memahami ibadah berkenaan.

“Ketika itu ibu ingat saya hanya mahu cuba berpuasa dan mengenali amalan Ramadan, tetapi apabila saya memaklumkan keputusan memeluk Islam tahun lalu, dia agak kecewa pada awalnya.

“Namun selepas melihat keadaan saya baik dan hubungan dengan keluarga tidak berubah, ibu semakin berlapang dada malah menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) kelmarin.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, minat mendalami Islam bermula sejak di bangku sekolah apabila banyak bergaul dengan rakan beragama Islam.

Menurutnya, beliau mula mempelajari asas ibadah seperti solat melalui video di YouTube selain menghadiri solat Jumaat di masjid dan bertanya kepada rakan mengenai ajaran Islam.

“Sejak mendalami Islam, saya tinggalkan amalan yang dilarang termasuk minum arak dan makanan tidak halal.

“Ramadan kali ini sangat bermakna kerana dapat berpuasa serta menunaikan solat Tarawih bersama isteri dan belajar membaca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, saudara baharu yang lain, Hu Lu Xiang, 43, atau Hamzah Hu, berkata pengalaman berpuasa pada Ramadan pertamanya agak mencabar kerana sebelum ini beliau tidak pernah melakukannya.

Beliau yang baru enam bulan memeluk Islam berkata pada awal Ramadan lalu beliau gagal berpuasa seharian kerana cuaca panas dan rasa dahaga yang sukar ditahan.

“Rupanya berpuasa bukan sesuatu yang mudah. Namun selepas seminggu mencuba, saya berjaya berpuasa penuh walaupun ada masanya hampir tewas dengan rasa dahaga,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Hamzah berkata beliau masih belum berpeluang menunaikan solat Tarawih kerana sedang belajar memperbaiki bacaan dalam solat, namun mengakui perubahan paling ketara sejak memeluk Islam ialah menjadi lebih sabar berbanding sebelum ini yang mudah melenting.

Sementara itu, Pengerusi MACMA Cawangan Kelantan, Dr Johari Yap Abdullah, berkata program berbuka puasa untuk saudara baharu yang berdaftar di bawah pertubuhan itu diadakan setiap tahun dan kali ini melibatkan kira-kira 150 peserta.

Tamat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here