Home Luar Negara PERANCIS HANTAR ‘CHARLES DE GAULLE’ UNTUK LINDUNGI SELAT HORMUZ

PERANCIS HANTAR ‘CHARLES DE GAULLE’ UNTUK LINDUNGI SELAT HORMUZ

175
0

SELAT HORMUZ: Perancis dan sekutunya sedang bersiap sedia untuk misi ‘pertahanan’ bagi membuka semula laluan strategik Selat Hormuz, kata Presiden Emmanuel Macron pada Isnin ketika perang di Timur Tengah yang memasuki minggu kedua.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pemimpin Perancis itu mendarat dengan helikopter di kapal pengangkut pesawat, Charles de Gaulle, yang dihantar ke Laut Mediterranean selepas serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari mencetuskan perang yang mengakibatkan kekacauan serantau dan berpotensi merebak ke bahagian lain dunia.

Macron, ketika lawatan ke Cyprus pada awal hari yang sama berkata, misi di Selat Hormuz itu bertujuan mengiringi kapal kontena dan kapal tangki bagi membuka semula selat itu secara berperingkat ‘selepas fasa konflik yang paling genting berakhir’.

“Ini sangat penting untuk perdagangan antarabangsa, selain aliran gas dan minyak yang mesti dibenarkan keluar dari wilayah (Teluk) ini sekali lagi,” kata Macron ketika lawatan ke pulau itu bagi membincangkan keselamatan serantau.

Bercakap bersama Presiden Cyprus, Nikos Christodoulides, dan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, Macron berkata, ia adalah ‘misi sokongan murni yang bersifat pertahanan’ akan dibentuk oleh negara Eropah dan bukan Eropah.

Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin menyatakan kesediaan untuk ‘mempertingkatkan’ operasinya bagi melindungi trafik maritim di Timur Tengah.

EU sudah membincangkan pengukuhan misi tentera lautnya di Laut Merah selepas serangan AS-Israel ke atas Iran mencetuskan perang wilayah yang lebih luas.

Trafik maritim di Selat Hormuz, laluan air utama Teluk yang menyalurkan satu perlima daripada minyak mentah global, hampir terhenti sepenuhnya sejak perang meletus.

Macron melawat Cyprus selepas negara ahli EU itu menjadi sasaran dron buatan Iran pada minggu lalu.

Pemimpin Perancis itu menegaskan serangan ke atas Cyprus adalah serangan ke atas seluruh Eropah.

“Apabila Cyprus diserang, Eropah yang diserang,” katanya.

Serangan dron di Cyprus itu menyebabkan Perancis mengerahkan kapal pengangkut Charles de Gaulle ke Mediterranean, selain menghantar sebuah kapal frigat dan unit pertahanan udara ke pulau itu.

Paris menegaskan pendiriannya di wilayah itu adalah bersifat ‘pertahanan semata-mata.

Di atas kapal Charles de Gaulle, Macron berkata tempoh konflik bergantung kepada objektif AS-Israel, sambil memberi amaran bahawa perubahan ‘mendalam’ kepada kepimpinan Iran tidak boleh berlaku ‘melalui pengeboman Amerika-Israel semata-mata’.

“Kami meletakkan diri dalam kedudukan untuk bertahan,” katanya sambil menambah perang yang ‘dalam fasa sengit ini’, boleh berlarutan selama ‘beberapa hari, mungkin beberapa minggu’.

Kapal utama Charles de Gaulle berkemungkinan akan dikerahkan ke Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada misi yang diumumkan itu, kata Macron.

Sebelum ini, kapal frigat Perancis mengambil bahagian dalam Operasi Aspides EU, yang dilancarkan di Laut Merah pada 2024 bagi menghalang serangan ke atas kapal perdagangan oleh pasukan pemberontak Houthi yang disokong Iran. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here