Home Buletin Semasa DUA PENUNGGANG BASIKAL MAUT DIREMPUH PERODUA KELISA

DUA PENUNGGANG BASIKAL MAUT DIREMPUH PERODUA KELISA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua penunggang basikal maut selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa di Kilometer 16.5 Lebuhraya Rakyat, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa, lelaki berusia 48 dan 49 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang menunggang basikal di lorong sebelah kiri dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh.

Menurutnya, sebuah Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 22 tahun yang datang dari arah sama dipercayai berada di lorong berkenaan sebelum melanggar bahagian belakang basikal mangsa.

“Pemandu dipercayai tidak nampak atau menyedari kehadiran kedua-dua penunggang basikal berkenaan dan disebabkan jarak terlalu dekat, dia tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian belakang basikal mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang basikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Polis turut meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Naqiyuddin Sharifuddin di talian 09-775 2315.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, selain mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas yang berkuat kuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here