Home Buletin Semasa DUA PEMANDU BAS DITAHAN, DADAH DISOROK BELAKANG TEMPAT DUDUK PEMANDU

DUA PEMANDU BAS DITAHAN, DADAH DISOROK BELAKANG TEMPAT DUDUK PEMANDU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Dua pemandu bas ekspres ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes memiliki dadah susulan penemuan bahan disyaki syabu yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu dalam satu operasi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 39 dan 46 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres serta kedua-dua individu berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam bas membawa kepada penemuan bahan yang disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di bahagian belakang tempat duduk pemandu.

“Polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2,500,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah,”katanya.

Beliau menegaskan untuk terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Katanya, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah amat dihargai bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti terus terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here