Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
PEKAN: Seramai 250 peserta menyertai Bengkel Mahir Falak anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran menentukan arah kiblat dengan tepat berlandaskan kaedah falak yang diiktiraf.
Program sehari yang berlangsung di Masjid Al Jazari, UMPSA, kelmarin itu menghimpunkan warga UMPSA, kakitangan agensi kerajaan, orang awam serta pelajar daripada 12 sekolah menengah sekitar daerah ini.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA, Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham berkata, bengkel berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Pahang yang turut menyediakan peralatan bagi sesi latihan praktikal.
Menurutnya, peserta didedahkan dengan sejarah pensyariatan arah kiblat serta prinsip sains falak yang menjadi asas dalam penentuan arah kiblat.

“Peserta bukan sahaja mempelajari teori, malah berpeluang mengaplikasikan pengetahuan tersebut melalui latihan praktikal menggunakan peralatan yang disediakan mengikut panduan yang diberikan.
“Kami berharap penganjuran bengkel ini dapat menyemarakkan budaya ilmu falak dalam kalangan warga UMPSA dan masyarakat setempat, sekali gus memastikan pelaksanaan ibadah harian sentiasa berlandaskan syariat dengan disokong pemahaman sains,” katanya.

Beliau berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada warga universiti dan masyarakat mengenai kaedah penentuan arah kiblat yang mudah, tepat serta berlandaskan disiplin ilmu falak.
Katanya, penganjuran bengkel berkenaan juga adalah antara inisiatif UMPSA dalam memperkukuh literasi ilmu falak di samping mengeratkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan.
IMedikel TV






