Home Buletin Semasa DUA LELAKI TERMASUK TEKONG DITAHAN CUBA SELUDUP PATI

DUA LELAKI TERMASUK TEKONG DITAHAN CUBA SELUDUP PATI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dikesan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Chabang Empat Salam, di sini pada Rabu.

Komander PGA Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, dalam satu kenyataan berkata kegiatan itu dikesan apabila menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dalam Op Taring Wawasan kira-kira jam 10 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang penumpang lelaki disyaki warganegara Pakistan ditemui dalam kereta tersebut.

“Suspek gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah masuk ke Malaysia. Seorang lelaki berumur 36 tahun dipercayai menjadi tekong untuk menyeludup suspek masuk ke Malaysia,”katanya dalam kenyataan.

Menurutnya penumpang ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong ditahan di bawah Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007 dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

“Kedua suspek turut positif dadah jenis Methamphetamin dan tetrahydrocannabinol (THC),”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here