Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Dua lelaki bersaudara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menganiaya seekor beruk di tepi sebuah rumah kosong, di Kampung Jembal, Jalan Tawang, awal bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amin Rashidi Ramli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, didakwa dengan sengaja mendatangkan penganiayaan terhadap seekor beruk jantan berwarna coklat dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya, di tepi rumah kosong, di Kampung Jembal, Jalan Tawang, lebih kurang 6.30 petang, 1 November lalu.
Pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan berasingan, tertuduh, Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, pula didakwa bersubahat dengan Muhamad Amirul Afiq untuk mendatangkan penganiayaan terhadap seekor beruk jantan berwarna coklat dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 44 (1)(a) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Habil Zainal Abidin.
Muhammad Aiman Syahmi menawarkan jaminan RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh, namun peguamnya memohon jaminan minimum dikenakan terhadap kedua-dua anak guamnya.
Mahkamah membenarkan jaminan bagi kedua-dua tertuduh masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
IMedikel TV






