Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang bapa bersama anak tirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyamun seorang warga emas selepas mangsa membeli ikan hingga mendatangkan kecederaan, di hadapan sebuah kedai di Nilam Puri, kira-kira jam 8.15 pagi, pada 1 November lalu.
Mohd Shahrul Azuri Abdullah, 37, dan Muhammad Zufayri Ibrahim, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menyamun dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang warga emas, Habsah Mat Soud, 69.
Kejadian tersebut berlaku di hadapan sebuah kedai di Nilam Puri sekitar jam 8.15 pagi pada 1 November lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan yang dihadapi adalah serius.
Mahkamah menetapkan 10 Disember depan untuk serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga emas cedera ringan selepas disamun dua lelaki menaiki motosikal ketika berada di tepi jalan di Nilam Puri, di sini, baru-baru ini.
IMedikel TV






