Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
BACHOK: Dua beradik meraih pendapatan dengan memproses dan menjual jus avocado di Pantai Impian Kemasin, di sini, sekali gus menarik perhatian pelancong terutama pada hujung minggu.
Pengusaha, Rashidi Abdullah, 49, bersama abangnya Abdul Rashid, 51, meniaga jus berkenaan sejak awal tahun ini setelah kedua-dua mereka beralih arah bidang kerja dan bekerjasama menjadikan buah avocado sebagai jus dalam mencari sumber pendapatan.
Rashidi berkata, kedua-dua mereka mendapat idea menjual jus avocado tersebut setelah rakan dari Johor memperkenalkan cara memproses dan kami pula tertarik kerana di Kelantan tidak ramai yang menjualnya.

“Saya mengambil masa beberapa minggu mereka cipta jus ini supaya ia sedap dan dijual dengan harga RM6 sebotol bagi 500 mililiter (ml) di kiosk yang terletak di Pantai Impian Kemasin.
“Kebanyakan pelanggan yang datang pada mulanya berasa pelik kerana belum pernah mencuba, tetapi setelah menikmati jus sejuk tersebut, ramai yang suka dan menambah pembelian,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia berpengalaman kerja meniaga surat khabar dan berniaga santan, namun disebabkan industri tersebut berhadapan dengan masalah bekalan, dia kemudian beralih ke perniagaan minuman, manakala abangnya pula sebelum ini berniaga pakaian.

“Kami cipta kelainan dalam penjualan minuman berikutan ramai persaingan dan ternyata ramai yang sukakan jus avocado yang dicampur bersama susu.
“Kami membeli avocado dengan harga RM120 sekotak, yang mana di dalamnya terdapat 15 biji. Biasanya pada hujung minggu permintaan lebih 100 botol sehari dan kami memproses jus ini bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang,” katanya.
Selain jus avocado, mereka juga turut menjual minuman lain antaranya kopi pekat, teh hijau dan air buah naga, juga mempunyai ejen di sekitar Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
“Jus ini mendapat sambutan kerana rasanya yang sedap dan berkhasiat untuk kesihatan,” katanya.
Tamat






