KUALA LUMPUR: Perubahan strategi serta taktikal di set kedua menjadi faktor utama beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya memerangkap sekali gus menyingkirkan pilihan kedua kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di suku akhir Masters Malaysia, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, dalam perlawanan itu, Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking kedua dunia dilihat mampu melangkah ke separuh akhir apabila bermula baik di set pertama namun, di set kedua, mereka seperti terkedu dan terperangkap dengan gaya permainan yang ditampilkan oleh rakan senegara, Wei Chong-Kai Wun.
Bagi Izzuddin, dia melihat pertukaran gaya permainan lawan di set kedua itu membuatkan dia dan Sze Fei lambat untuk bangkit dan terpaksa mengheret permainan ke rubber set.
“Ya, mungkin mereka tukar strategi dari sana (ketika set kedua) kami lambat untuk mengadaptasi perkara itu menyebabkan kami ketinggalan jauh (pada set kedua),” katanya selepas tamat perlawanan di Axiata semalam.
Selain itu, Izzuddin menyatakan mereka akan fokus kepada kejohanan akan datang di Terbuka Singapura minggu depan serta Terbuka Indonesia pada 2 hingga 8 Jun ini dalam usaha mempamerkan aksi yang lebih konsisten.
Sementara itu, Sze Fei mengakui terdapat beberapa kesilapan mudah selain pihak lawan mempamerkan rentak permainan yang lebih baik dalam perlawanan itu terutama di penghujung permainan di set ketiga sehingga membenarkan lawan mendapatkan lima mata berturut-turut.
“Saya rasa kita, kedua-dua beregu sudah cuba yang terbaik dan Wei Chong serta Kai Wun pula dilihat beraksi dengan lebih baik daripada kami. Saya rasa begitu.
“Secara keseluruhan, saya bagi penilaian enam atau tujuh daripada 10 kepada persembahan kami di Masters Malaysia ini,” katanya.
Pada aksi itu, Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking kelapan dunia berjaya bangkit untuk menang dalam pertarungan tiga set 19-21, 21-7, 21-16 sekali gus merapatkan jurang kemenangan 1-2 sepanjang tiga pertemuan sebelum ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






