KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) hampir pasti memperkuatkan skuad mereka bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan dengan mendapatkan khidmat dua bekas pemain Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaluddin.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), kedua-dua pemain berkenaan sudah menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi skuad Penyu dan kini sedang melengkapkan proses dokumentasi akhir.
“Saiful dan Baqiuddin sudah bersedia untuk bersama TFC bagi musim baharu yang bermula Ogos ini. Urusan dokumentasi mereka berjalan lancar dan kedua-duanya sangat teruja untuk menyertai TFC selepas Sri Pahang FC menghentikan operasi mereka,” kata sumber itu kepada NSTP.
“Namun begitu, kami belum dapat mengumumkan penyertaan mereka secara rasmi memandangkan segala urusan masih belum selesai sepenuhnya. Sekiranya semua berjalan lancar, pengurusan akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat,” katanya.
Memetik laporan Berita Harian, Baqiuddin, 31, yang beraksi di posisi sayap dan Saiful, 23, pemain tengah bertahan, sebelum ini menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial apabila dikaitkan dengan skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu.
Minggu lalu, pengurusan TFC Sdn Bhd memaklumkan mereka sedang mengenal pasti dua pemain tempatan sebagai tambahan kepada lima tonggak import bagi memperkukuh skuad musim 2025-26. – BH Online –
IMedikel TV






