Home Buletin Semasa DR DZULKEFLY IMAMKAN SOLAT JENAZAH DR AINUL BARAAH

DR DZULKEFLY IMAMKAN SOLAT JENAZAH DR AINUL BARAAH

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengimamkan solat jenazah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini pada 1.35 tengah hari, hari ini.

Lebih 1,000 jemaah hadir pada solat jenazah tersebut termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Kasuadi Hussin.

Bapa Allahyarham, Kamarudin Salleh, 69, berkata, pihak keluarga memberi kebenaran kepada Dr Dzulkefly untuk mengimamkan solat jenazah anaknya sebagai tanda penghormatan.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Kesihatan (Dr Dzulkefly) dan seluruh rakyat Malaysia termasuk saudara-mara serta sahabat kerana sentiasa mendoakan arwah anak,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, di sini, hari ini.

Sementara itu, suami Dr Ainul Baraah, Muhammad Faiz Abdul Malik, 31, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan mendoakan Allahyarham.

Beliau turut berterima kasih kepada wakil daripada Pusat Anak Sarawak, Pusat Anak Negeri serta Pusat Anak Negeri Kelantan yang memberikan sokongan kepada keluarga.

“Perjalanan membawa jenazah Allahyarham dipermudahkan dengan sokongan dan doa daripada rakan-rakan yang mengenali mahupun tidak mengenali Allahyarham.

“Sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia menjadi satu kegembiraan buat Allahyarham, saya ucapkan terima kasih kepada semua, termasuk kepada media,” katanya.

Selasa lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching semasa menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS).

Kesemua mangsa nahas disahkan meninggal dunia iaitu iaitu Dr Ainul Baraah, juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here