PENANGAN watak jahat, pelakon Fadlan Hazim, 33, ada pelbagai kenangan termasuk disergah khalayak dan menerima ancaman di media sosial sehingga perlu buat laporan polis.
Fadlan atau nama sebenarnya Fadlan Hazim Anuwar turut mendedahkan antara kejadian dialaminya juga termasuk dihempuk selain hampir diludah orang tidak dikenali kerana benci watak lakonannya.
“Rasanya 10 tahun lalu saya pernah kena hempuk dengan seorang mak cik ketika berada di sebuah kedai serbaneka. Tahun lalu pula ada seorang pak cik tegur dan seakan-akan nak meludah ke muka saya.
“Saya juga pernah menerima DM (mesej langsung) yang agak serius. Orang begini yang perlu saya risau. Itu sebablah saya buat laporan polis,” katanya ditemui pada majlis tayangan istimewa drama lakonannya Curang Tanpa Niat, baru-baru ini.
Bagi Fadlan, kejayaan membawakan watak antagonis sehingga tahap dibenci di luar memang pencapaian yang bagus buatnya.
“Kalau orang dah menyampah itu maknanya menjadilah watak saya,” katanya yang menjayakan watak Ashraf atau lebih dikenali sebagai Uncle Bengkel dalam Curang Tanpa Niat.
Berikutan lakonan menjayakan watak antagonis membolehkan Fadlan tersenarai bagi kategori Antagonis Pilihan untuk drama Seribu Rindu sempena Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ke-6 pada 2019.
Fadlan berkongsi, dia sebenarnya agak kekok kembali menghidupkan watak baik dalam drama itu.
Situasi demikian paling dirasakannya sewaktu pada awal penggambaran drama arahan Eyra Rahman itu.
“Saya dah banyak bawa watak jahat dan kali ini diberi watak baik. Agak sukar untuk saya sehingga pengarah perlu beri panduan ubah reaksi muka.
“Tapi syukur sambutan baik peminat. Sebelum ini komen di sosial media penuh dengan kecaman. Sekarang orang dah mula sayang,” jelasnya.
Selain Fadlan drama terbabit turut dibintangi nama handalan termasuk Shukri Yahaya, Mira Filzah, Sharifah Sakinah dan Fauzi Nawawi.
Fadlan mula aktif dalam dunia seni sejak 2010 dan bekas anggota kumpulan pop, Versatility In Perfomance (V.I.P).
Anak jati Kuala Lumpur ini pernah tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem Sniper serta calon kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-28 pada 2014. – Hmetro Online –
IMedikel TV






