Home Hiburan DIBENCI KERANA WATAK, FIRDAUS KARIM ANGGAP SATU KEJAYAAN

DIBENCI KERANA WATAK, FIRDAUS KARIM ANGGAP SATU KEJAYAAN

452
0

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini namanya kurang mendapat perhatian arus perdana, pelakon Firdaus Karim kini melonjak naik menerusi watak Ustaz Irfan dalam drama Doa Yang Terlindung.

Memetik laporan Berita Harian, watak figura agama yang diselubungi manipulasi, hipokrasi dan penyalahgunaan kepercayaan itu bukan sahaja mencetuskan perbualan hangat, malah menjadikan Firdaus antara pelakon paling diperkatakan pada awal tahun ini.

Karakter yang dibawakan turut menerima reaksi bercampur daripada penonton apabila ramai meluahkan rasa marah dan benci terhadap Ustaz Irfan yang disifatkan terlalu dekat dengan realiti masyarakat.

Mengakui wataknya kini dibenci, Firdaus bagaimanapun melihat reaksi itu sebagai satu kejayaan dalam penghayatan lakonan yang dipersembahkan.

Menurutnya, pembinaan karakter Ustaz Irfan tidak dilakukan secara sambil lewa, sebaliknya melalui kajian dan rujukan mendalam.

“Saya banyak membuat rujukan dan berbual dengan individu yang pernah berdepan situasi seperti ini.

“Kita tapis apa yang sesuai untuk dikongsikan kepada masyarakat. Jadi wajar untuk penonton menonton dan menilai sendiri,” katanya.

Mengulas impak drama berkenaan yang kini menjadi fenomena, Firdaus berkata, dia dan pihak produksi sudah menjangka pelbagai reaksi bakal diterima.

“Waktu berbincang dengan produksi, kami sudah membayangkan pelbagai senario. Cuma saya tidak sangka penerimaan penonton akan sebesar ini,” katanya lagi.

Sambutan luar biasa itu terbukti apabila Doa Yang Terlindung mencatat tontonan melebihi empat juta penonton bagi setiap episod.

Selain itu, drama berkenaan turut meraih kira-kira 600 juta capaian keseluruhan di platform digital dan media sosial.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata netizen tidak menyembunyikan rasa sakit hati terhadap karakter Ustaz Irfan, malah ada yang mengaitkannya dengan isu semasa.

Fenomena tercetus membuktikan naskhah berkenaan berjaya menyentuh emosi dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat.

Bagi Firdaus, dibenci kerana membawakan watak antagonis bukan sesuatu yang negatif, sebaliknya menjadi ukuran kejayaan apabila lakonan mampu memberi kesan mendalam kepada penonton.

Doa Yang Terlindung masih ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam. Drama itu turut dibintangi Fasha Sandha, Sharifah Rose, Nafiz Muaz dan Meor Hashim. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here