LONDON: Luis Díaz akan dikenakan satu peraturan ketat apabila melakukan perjalanan bersama Bayern Munich.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro kelmarin, The Athletic melaporkan Bayern Munich bersetuju dengan perjanjian bernilai €75 juta (RM368 juta) untuk menandatangani pemain Liverpool, Díaz.
Pemain dari Colombia itu dilaporkan diberikan kebenaran untuk meninggalkan jelajah pramusim Liverpool di Tokyo bagi menyelesaikan perpindahan ke juara Jerman tersebut.
Díaz, yang kontraknya bersama Liverpool berlangsung sehingga Jun 2027, dikatakan menyatakan hasratnya untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.
Dia menyertai The Reds dari Porto pada Januari 2022 dengan yuran permulaan sebanyak £37.5 juta (RM212 juta) dan membuat 148 penampilan, menjaringkan 41 gol dan mencatatkan 23 bantuan jaringan dalam semua pertandingan.
Sekiranya Díaz menyertai Bayern Munich, dia perlu mematuhi satu peraturan ketat berkaitan kenderaan, sebagai sebahagian daripada kerjasama jangka panjang kelab itu dengan Audi.
Pengeluar kereta dari Jerman itu memiliki 8.33 peratus saham dalam Bayern, dan oleh itu semua pemain serta kakitangan kelab menerima sebuah kereta syarikat setiap musim.
Walaupun pemain dibenarkan memandu kereta peribadi mereka pada masa lapang, mereka diwajibkan menggunakan kenderaan Audi semasa berulang-alik ke pusat latihan Sabener Strasse. Peraturan ini juga terpakai untuk perlawanan di tempat sendiri dan aktiviti berkaitan kelab.
Pemain Bayern juga dibenarkan memandu kereta Bentley, Bugatti dan Porsche untuk aktiviti berkaitan kelab, memandangkan jenama-jenama ini berada di bawah kumpulan Volkswagen, yang juga memiliki Audi.
Pada 2021, Kingsley Coman dilaporkan tidak dibenarkan masuk ke kawasan latihan Bayern dan terpaksa meletakkan keretanya di tepi jalan selepas tiba ke tempat kerja dengan menaiki Mercedes.
Dalam satu lagi insiden, Coman dikatakan tiba ke sesi latihan menaiki McLaren kerana Audi miliknya mengalami kerosakan pada cermin sisi. Pada hari itu, dia dikatakan terpaksa mengeluarkan permohonan maaf.
Díaz kini diketahui memandu sebuah Porsche Cayenne S serta Jeep Wrangler Turbo 2.0. Porsche, sememangnya dibenarkan untuk digunakan bagi aktiviti berkaitan Bayern memandangkan ia sebahagian daripada kumpulan Volkswagen. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






