Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 19 notis kompaun dan menyita 32 peralatan dalam operasi khas membanteras kegiatan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran atau dikenali sebagai ‘ulat foto’ di sekitar kawasan tumpuan pelancong ibu negara.
Operasi bersepadu dikenali sebagai “Op Lens: Ulat Foto” itu dilaksanakan pada jam 9 malam, Sabtu lalu, membabitkan kerjasama DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sekitar Pintasan Saloma, Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi DBKL, operasi tersebut memberi tumpuan kepada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa lesen yang dijalankan di kawasan awam.
“Hasil operasi, DBKL mengeluarkan sebanyak 19 notis kompaun terhadap individu warga tempatan yang didapati menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran, selain menyita 32 peralatan berkaitan aktiviti berkenaan.
“Daripada jumlah sitaan tersebut, 13 kes membabitkan warga asing. Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,”menurut kenyataan.
Dalam operasi sama, PDRM dan JPN turut menjalankan pemeriksaan terhadap 32 individu bagi mengesahkan dokumen pengenalan diri selaras dengan peruntukan Akta Pendaftaran Negara 1959.

DBKL berkata pihaknya akan terus komited memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan kawasan awam bebas daripada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, kegiatan berkenaan bukan sahaja menimbulkan risiko keselamatan, malah boleh menyebabkan gangguan kepada pengunjung serta menjejaskan kelancaran pergerakan lalu lintas di kawasan tumpuan ramai.
“Antara peralatan yang disita termasuk telefon bimbit, lampu pencahayaan, gimbal dan pelbagai peralatan fotografi lain.
“Kesemua barangan tersebut dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi lanjut,”jelas kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklum balas berhubung aktiviti seumpama itu boleh menyalurkannya melalui saluran rasmi DBKL.
IMedikel TV






