Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat usaha memperkukuh sektor agromakanan menerusi pelaksanaan Program Dapur Hijau yang dilihat mampu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan dari luar negeri.
Memetik laporan UPKN, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, program itu adalah antara pendekatan strategik yang relevan dalam menghadapi cabaran semasa termasuk perubahan iklim, kenaikan harga makanan, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok, di sini, semalam.
Menurut beliau, pengukuhan sektor pengeluaran makanan tempatan perlu menjadi agenda utama bagi memastikan negeri ini mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat secara berterusan dan mampan.
Katanya, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap usaha meningkatkan tahap Self-Sufficiency Ratio (SSR) dalam sektor agromakanan bagi memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan sendiri.
“Kelantan perlu terus memperkukuhkan keupayaan pengeluaran makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
“Kita mahu Kelantan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan makanan rakyatnya, malah berpotensi muncul sebagai antara penyumbang penting kepada agenda Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor pertanian mempunyai kedudukan penting dalam Islam kerana menjadi asas kepada kestabilan kehidupan serta kesejahteraan masyarakat.
“Walaupun Program Dapur Hijau dilaksanakan pada skala kecil di kawasan kediaman, manfaat yang dibawanya cukup besar kepada keluarga.
“Selain membantu mengurangkan perbelanjaan harian, program itu membolehkan masyarakat menikmati sumber makanan yang lebih segar dan sihat di samping mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga,”katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan juga mempunyai potensi untuk berkembang melangkaui keperluan isi rumah dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi komuniti.
“Daripada aktiviti menanam untuk kegunaan sendiri, ia boleh diperluaskan kepada pengeluaran hasil secara komuniti, pemasaran produk tempatan, penghasilan benih, produk hiliran dan pelbagai aktiviti ekonomi berasaskan pertanian bandar serta komuniti,” katanya.
IMedikel TV






