Madrid: Pertahanan kiri Sepanyol, Marc Cucurella mengucapkan selamat tinggal kepada Chelsea menerusi satu video penuh emosi selepas perpindahannya ke Real Madrid dimuktamadkan sebelum bermulanya Piala Dunia 2026.
Memetik laporan Harian Metro, Pemain berusia 28 tahun itu mengakhiri tempoh empat musim di Stamford Bridge dengan mengimbau perjalanan kariernya yang bermula sebagai pemain muda yang memasang impian memenangi trofi dan beraksi di Liga Juara-Juara.
“Selepas empat musim bersama, sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Saya sudah mengambil masa untuk mengimbau segala yang kita lalui bersama.
“Saya datang ke sini sebagai seorang budak dengan impian memenangi banyak trofi dan bermain di Liga Juara-Juara. Permulaannya memang sukar, tetapi dengan kerja keras dan usaha kami berjaya mengubah keadaan,” katanya.
Cucurella turut mengucapkan terima kasih kepada Chelsea, barisan jurulatih, rakan sepasukan, kakitangan kelab serta penyokong yang sentiasa berdiri di belakangnya sepanjang empat tahun di London.
“London akan sentiasa menjadi rumah saya dan Chelsea akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya.
“Saya tidak akan melupakan lagu yang dinyanyikan penyokong untuk saya di Stamford Bridge, trofi-trofi yang dimenangi serta kasih sayang yang diberikan. Saya datang sebagai seorang budak dan kini meninggalkan kelab ini sebagai seorang lelaki,” katanya.
Pemenang Piala Dunia bersama Sepanyol itu turut berharap Chelsea mampu kembali bersaing di kelompok elit bola sepak Eropah.
“Saya berharap dapat melihat Chelsea kembali ke tempat yang sepatutnya. Sekali Blue, selamanya Blue,” katanya.
Real sebelum ini mengumumkan Cucurella menyertai kelab itu menerusi kontrak selama enam musim sehingga Jun 2032 selepas mencapai persetujuan perpindahan dengan Chelsea.
Selepas diberikan rehat susulan aksi di Piala Dunia, Cucurella dijangka melaporkan diri untuk menyertai latihan pramusim Real Madrid di bawah kendalian Jose Mourinho dalam masa terdekat.-HMetro Online-
IMedikel TV






