Home Sukan COURT SOCCER ‘A’, AWM UNGGULI KARNIVAL FUTSAL MILO HIDUP BOLA

COURT SOCCER ‘A’, AWM UNGGULI KARNIVAL FUTSAL MILO HIDUP BOLA

184
0

KUALA LUMPUR: Pasukan Court Soccer ‘A’ dari Kuala Lumpur muncul juara pusingan akhir Karnival Futsal MILO Hidup Bola bagi kategori bawah-16 (B-16) tahun seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan piala MILO Hidup Bola.

Pasukan Akademi Bola Sepak Wira Muda (AWM) dari Pulau Pinang pula muncul juara bagi kategori B-12, sekali gus buat kali pertama merangkul kejuaraan kejohanan MILO Hidup Bola sejak kelab itu ditubuhkan pada 2018.

Jurulatih AWM, Shahrul Faizal bin Ahmad berkata, pasukannya sudah mencuba beberapa kali sebelum ini tetapi gagal melayakkan diri ke pusingan akhir.

“Semangat juang tinggi membuahkan hasil kerana kami bukan sahaja melayakkan diri tetapi juga menjadi juara tahun ini. Terima kasih kepada MILO kerana menganjurkan MILO Hidup Bola sebagai platform untuk komuniti futsal di seluruh Malaysia,” katanya.

Karnival Futsal MILO Hidup Bola dianggap sebagai acara futsal terbesar dan paling inklusif di negara ini menjadi medan mencungkil dan mengetengahkan bakat sedang meningkat naik dalam kalangan pemain muda.

Kejohanan yang turut dikenali sebagai karnival futsal Hidup Bola yang memasuki edisi ke-18 tahun ini menyaksikan siri perlawanan yang berlangsung di 14 lokasi seluruh negara membabitkan penyertaan seramai 12,000 peserta.

Semua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menghantar wakil dalam dua kategori iaitu B-12 dan B-16.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Sukan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad, Lim Kerwin menjelaskan pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memberi peluang kepada seberapa ramai pemain untuk menyerlahkan kemahiran mereka.

Beliau berkata, sebagai jenama yang bertekad untuk membudayakan amalan hidup cergas dan sihat dalam kalangan masyarakat, sukan memainkan peranan penting untuk memenuhi matlamat lebih luas bagi membina sebuah negara yang lebih sihat.

“Kami berusaha menyemai nilai-nilai murni di dalam dan luar gelanggang seperti kesungguhan, disiplin dan kerjasama berpasukan menerusi futsal sebagai salah satu sukan paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Hidup Bola membuktikan kemampuan sukan untuk menyatupadukan masyarakat dan mendorong belia mencapai impian masing-masing. Kejohanan ini terus menjadi platform utama untuk MILO mencungkil bakat dan membolehkan bintang muda untuk menyerlah,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here