Home Sukan CITY BUKAN SATU PASUKAN LENGKAP – GUARDIOLA

CITY BUKAN SATU PASUKAN LENGKAP – GUARDIOLA

112
0

LONDON: Pep Guardiola mengakui Manchester City masih belum menjadi “satu pasukan lengkap” namun beliau tetap yakin mereka mampu mengejar Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, skuad kendalian Guardiola menerima tamparan hebat apabila sekadar seri 2-2 dengan Nottingham Forest yang bergelut di kelompok bawahan pada pertengahan minggu.

City yang menghuni tangga kedua kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal, walaupun beraksi kurang satu perlawanan selain akan menjadi tuan rumah kepada The Gunners bulan depan.

Sepanjang tempoh gemilang Guardiola bersama kelab itu, City sering bangkit selepas keputusan mengecewakan.

Pengendali dari Sepanyol itu menjangka perkara sama mampu dilakukan ketika berdepan Newcastle pada aksi pusingan kelima Piala FA awal pagi esok, walaupun beliau mengakui pasukannya yang dibentuk semula dengan kos besar masih dalam proses penyesuaian.

“Biasanya kami memberi reaksi yang baik. Kami mempunyai keupayaan untuk melupakan dengan cepat. Kami bukan pasukan lengkap untuk bersaing, itu realitinya kerana kami sedang melalui banyak proses perubahan,” katanya.

“Tetapi jika kami dapat belajar dengan lebih cepat, masih belum ada apa yang hilang dan kami masih boleh memasuki bulan terakhir dengan peluang yang ada.

“Namun saya cukup yakin musim depan akan menjadi lebih baik. Saya tidak ragu-ragu mengenai perkara itu.”

Kenyataan Guardiola mengenai musim depan iaitu tahun terakhir kontraknya ketika ini, sekali lagi memberi bayangan beliau berhasrat kekal di Stadium Etihad.

Sebelum ini timbul spekulasi beliau mungkin meninggalkan kelab itu pada musim panas selepas hampir sedekad mengendalikan City, walaupun pada Disember lalu beliau menyatakan hasrat untuk terus kekal.

Perlawanan menentang Newcastle hanya bermula pada jam 8 malam waktu tempatan, sesuatu yang menimbulkan perasaan bercampur baur buat Guardiola.

Ia memberi masa pemulihan tambahan selepas aksi menentang Forest, namun pada masa sama memendekkan tempoh persiapan menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, Rabu depan.

“Pemulihan amat penting. Rehat, tidur, makanan dan latihan, kami tahu bagaimana untuk mengendalikannya,” kata Guardiola.

“Sudah tentu jika kami pulang lebih awal ia lebih baik untuk proses pemulihan, tetapi itulah keadaannya.

“Di England, apa yang berlaku dalam Piala Liga kadang-kadang lebih diberi perhatian berbanding perlawanan Liga Juara-Juara bagi kelab Inggeris.

“Saya tidak meminta apa-apa. Jika kami perlu bermain jam 8 malam, maka kami akan bermain jam 8 malam.” – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here