KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menyatakan terdapat perbezaan sistem latihan antara jurulatih dari Eropah serta Asia dan itu memerlukan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak.
Memetik laporan menerusi Harian Metro jelasnya, setiap jurulatih sudah pasti mempunyai modul latihan khusus yang sudah dirangka untuk diberikan kepada pemain namun kadangkala pemain menghadapi sedikit kesukaran menyesuaikan diri dengan kaedah berkenaan.
Katanya, berdasarkan pengalaman beliau sendiri ketika berlatih bersama jurulatih dari Denmark, Morten Frost, mereka lebih banyak masa di gelanggang untuk memberi fokus secara khusus kepada aspek teknikal serta corak permainan.
“Saya rasa ini kali kedua kita mengambil jurulatih dari Eropah untuk perseorangan lelaki, selepas Morten Frost.
“Saya boleh kongsikan bahawa program latihan jurulatih Eropah dan Asia sedikit berbeza. Berdasarkan pengalaman saya dengan Morten Frost, dia akan melatih secara berbeza kerana dia tidak suka latihan seperti di trek dan tidak suka berlari.
“Dia hanya fokus pada latihan di dalam gelanggang sahaja. Itu berbeza.
“Tetapi kadang-kadang kita di Asia mempunyai budaya latihan yang berbeza, mungkin sesi latihan lebih panjang. Jurulatih Eropah mungkin hanya dua atau dua jam setengah, kemudian berhenti,” katanya.
Tambahnya, cara itu tetap memberi kesan positif dan pemain juga perlu memainkan peranan penting dalam situasi seperti ini selain mereka harus bersedia untuk membuat latihan tambahan.
Sebelum ini, legenda badminton negara itu tampil mempertahankan pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen dan menyatakan jurulatih itu memerlukan masa untuk meningkatkan kembali prestasi pemain negara. – HMetro Online –
IMedikel TV






