RIYADH: Penyerang Chelsea, Joao Felix melengkapkan perpindahan ke kelab Al-Nassr semalam dalam satu perjanjian bernilai sehingga £43.7 juta (RM247 juta).
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, perjanjian itu merangkumi bayaran awal sebanyak £26.2 juta (RM148 juta) dengan tambahan £17.5 juta (RM98.9 juta) bergantung kepada prestasi.
Pemain antarabangsa Portugal itu sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan kembali ke Benfica, kelab di mana dia memulakan kerjaya profesionalnya, namun Al Nassr bertindak pantas untuk mendapatkan tandatangannya.
Kelab Arab Saudi itu sedang memperkukuh skuad mereka dalam usaha memburu kejuaraan Liga Pro Saudi, selepas baru-baru ini melanjutkan kontrak Cristiano Ronaldo dan melantik jurulatih berpengalaman dari Portugal, Jorge Jesus, sebagai pengurus.
Sementara itu, pemergian Felix memberikan Chelsea kelonggaran kewangan yang penting. Kelab itu kini dijangka mempercepatkan usaha mendapatkan penyerang RB Leipzig, Xavi Simons, dengan sebarang pembelian lanjut musim panas ini bergantung kepada penjualan pemain.
Untuk rekod, Felix mula menyertai Chelsea secara pinjaman dari Atletico Madrid pada Januari 2023, sebelum perpindahan itu dijadikan kekal pada musim panas lalu dengan bayaran £46.3 juta (RM261.8 juta).
Dia bergelut untuk mengekalkan konsistensi dan hanya menjaringkan tujuh gol dalam 20 penampilan musim lalu. Dia juga pernah dipinjamkan ke AC Milan awal tahun ini dan menjaringkan tiga gol dalam 19 perlawanan.
Namun begitu, Chelsea berjaya mendapatkan semula hampir keseluruhan jumlah yang dibayar untuk menandatangani Felix, dibantu oleh bayaran pinjaman £5 juta (RM28 juta) dari Milan .
Secara keseluruhan, kelab itu menjana £135.7 juta (RM767 juta) hasil jualan pemain setakat ini musim panas ini, membantu mengekalkan perbelanjaan bersih pada £82.3 juta (RM465 juta).
Dengan perpindahan ini, Felix kini mengatasi Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele dalam senarai pemain dengan jumlah nilai perpindahan tertinggi sepanjang kerjaya.
Pemain berusia 25 tahun itu kini berada di belakang Neymar Jr, Romelu Lukaku dan Cristiano Ronaldo dalam senarai tersebut.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






