BIRMINGHAM: Chelsea meredakan tekanan ke atas pengendalinya, Mauricio Pochettino dengan menewaskan Aston Villa 3-1 untuk mara ke pusingan kelima Piala FA, manakala Nottingham Forest bertemu Manchester United.
Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Conor Gallagher, Nicolas Jackson dan Enzo Fernandez menemui sasaran untuk The Blues di Villa Park bagi menebus kekecewaan tewas 4-2 di laman sendiri kepada Wolves pada Ahad.
Chelsea dicemuh penyokong sendiri ketika kekalahan di Stamford Bridge, seminggu selepas dibelasah 4-1 oleh Liverpool.
Dengan skuad kendalian Pochettino berada di tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris, kekalahan dalam saingan Piala FA akan menambahkan lagi tekanan ke atas pengendali dari Argentina itu.
“Saya rasa ia salah satu persembahan terbaik musim ini. Ia tiba tepat pada masanya. Kami mempunyai pasukan yang muda. Paling penting ialah persembahan yang mantap dan konsisten, dan ia perkara paling sukar untuk pasukan muda,” kata Pochettino.
Villa belum pernah tewas dalam 17 aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri sehingga Newcastle meraih kemenangan di Villa Park seminggu lalu.
Kini skuad kendalian Unai Emery sudah tersingkir daripada kedua-dua kejohanan domestik musim ini.
Pochettino turut berpeluang meraikan musim pertamanya di Stamford Bridge dengan memenangi trofi sulungnya dalam bola sepak Inggeris apabila Chelsea bertemu Liverpool dalam final Piala Liga di Wembley 25 Februari ini.
Chelsea dijangka mampu mengatasi cabaran Leeds untuk mara ke suku akhir Piala FA.
Forest akan melayan kunjungan United dalam aksi 16 terakhir selepas menewaskan Bristol City menerusi penentuan penalti.
Divock Origi meletakkan Forest di depan tetapi Jason Knight menyamakan kedudukan untuk pelawat sebelum permainan ditentukan menerusi sepakan penalti. – AFP,BH Online-
Imedikel TV






