Home Sukan CARRAGHER RAMAL AMORIM DIPECAT SEBELUM KRISMAS

CARRAGHER RAMAL AMORIM DIPECAT SEBELUM KRISMAS

438
0

MANCHESTER: Jamie Carragher mendakwa pemecatan Ruben Amorim sebagai pengendali Manchester United adalah sesuatu yang “tidak dapat dielakkan” dan dijangka berlaku sebelum Krismas.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Amorim kini berdepan tekanan hebat selepas permulaan hambar musim ini, susulan tamat di tangga ke-15 musim lalu meskipun kelab berbelanja besar untuk memperkukuh skuad pada musim panas.

Kemenangan 2-0 ke atas Sunderland pada Sabtu sedikit melegakan tekanan terhadap pengendali berusia 40 tahun itu, dengan United kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris hasil tiga kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.

Bercakap dalam rancangan Sky Sports, bekas pertahanan Liverpool itu menyifatkan era Amorim di Old Trafford sebagai “bencana” untuk kedua-dua pihak, dan menegaskan bahawa tempoh Amorim perlu ditamatkan secepat mungkin.

“Saya tidak suka bercakap tentang pemecatan jurulatih kerana itu kerja seseorang, tetapi saya rasa situasi Ruben Amorim sudah tidak boleh diselamatkan.

“Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan – saya percaya dia akan dipecat sebelum Krismas,” kata Carragher.

Carragher turut mendedahkan statistik mengecewakan Amorim – dalam 50 perlawanan bersama Manchester United, pasukannya hanya menjaringkan dua gol lebih banyak daripada jumlah yang dibolosi.

Pandangan Carragher turut disokong legenda United, Paul Scholes, yang berkata Amorim “sudah diberi terlalu banyak masa” oleh kelab.

“Manchester United memang terkenal memberi peluang kepada pengurus, tetapi dengan Amorim, saya rasa dia sudah diberi masa yang cukup.

“Selepas kekalahan kepada Brentford 3-1 tempoh hari, saya mula rasa waktunya di Old Trafford semakin suntuk,” kata Scholes.

Scholes turut meluahkan kebimbangan menjelang aksi menentang Liverpool di Anfield pada 19 Oktober, sambil menyifatkan kekalahan United dalam perlawanan besar kini menjadi perkara yang “boleh dijangka”.

“Saya tidak ingat bila kali terakhir United menang dalam perlawanan besar.

“Mereka berada dalam prestasi yang terlalu lemah, dan tiada keyakinan mereka boleh keluar daripada keadaan ini,” katanya.

Sejak mengambil alih jawatan musim lalu, Amorim mencatat 10 kemenangan, tujuh seri dan 17 kekalahan dalam 34 perlawanan Liga Perdana, dengan separuh daripada kemenangan itu hadir menentang pasukan baharu dinaikkan pangkat seperti Sunderland dan Burnley.

Walaupun sempat menewaskan Chelsea 2-1 bulan lalu, kemenangan itu turut dipengaruhi oleh kad merah awal yang diterima lawan. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here