KUALA LUMPUR: First Instance Body (FIB) sedang menanti dokumen lengkap daripada unit perlesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai permohonan pasukan Liga M3 untuk mendapatkan lesen kebangsaan.
Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan pihaknya tidak akan melangkaui kuasa penganjur untuk membuat keputusan pasukan mana lebih layak bermain di Liga Super seandainya mereka berjaya mendapat lesen.
“Apabila cukup dokumen, barulah (unit perlesenan MFL) serah kepada FIB dan sekarang ini kita kena lebih serius khususnya dalam soal kewangan kerana itu yang banyak pasukan tidak lepas.
“Bagi peringkat FIB, kita hanya nilai dokumen dan ikut kriteria sebelum buat keputusan kelab berkenaan layak diberi lesen atau sebaliknya. Bukan FIB yang boleh tentukan siapa yang boleh bermain atau pun tidak.
“Kita hanya hanya tentukan siapa layak diberikan lesen. Selepas itu bergantung kepada MFL untuk tentukan siapa lebih layak bermain sekiranya kesemua kelab yang memohon lulus untuk diberikan lesen,” katanya.
Sebelum ini, MFL mengesahkan tiga pasukan teratas Liga M3 2023 iaitu juara Imigresen FC, naib juara KL Rovers dan pasukan tangga ketiga, Harini FT mengemukakan permohonan sehingga tarikh akhir bagi lesen luar biasa untuk menyertai saingan Liga Super musim 2024/25.
MFL sebelum ini mengumumkan Kelantan gagal mendapatkan lesen kebangsaan susulan masalah tunggakan gaji, sekali gus tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim 2024/25.-BH Online-
Imedikel TV






