Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 10 juta pengunjung dianggarkan bakal melawat bumi serambi Makkah sempena Pelancaran Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 yang akan berlansung pada 25 Februari ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, walaupun ia merupakan sasaran yang sangat tinggi namun, ia boleh dicapai memandangkan nilai mata wang di negara luar lebih tinggi berbanding di negara ini.

“Bagi saya itu suatu yang munasabah walaupun kita berdepan dengan suasana ekonomi yang agak malap tetapi saya percaya ianya dapat memberi tarikan kepada pengunjung luar negara yang mempunyai nilai matawang lebih tinggi menyebabkan mereka datang melancong ke Malaysia dan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan produk minuman kesihatan Saffron Water di Al Khatiri, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata air saffron merupakan minuman yang sukar untuk didapati lebih-lebih lagi dengan harga yang mahal.
Namun katanya, kumpulan Al Khatiri dapat mengeluarkannya untuk dimanfaatkan oleh orang ramai dengan harga RM7 satu botol.
“Umum mengetahui bahawa saffron adalah daripada bunga dan ianya mengandungi khasiat kesihatan yang banyak tapi harga pasarannya sangat mahal hingga RM30 hingga RM40 satu kilogram,” katanya.
Beliau berkata, individu yang mengamalkan minuman tersebut akan merangsang tindak balas positif dalam badan.
Sementara itu, Pengasas Produk Saffron Water, Helwina Hadini berkata, kumpulan Al Khatiri turut menyokong usaha dalam mempromosi TMK2024 dengan melekatkan logo TMK2024 di 1000 botol keluaran pertama air minuman saffron.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan air saffron ini, mereka boleh mendapatkannya di premis perniagaan kami dan seluruh farmasi di Malaysia akan kita edarkan,” katanya.
Katanya, air minuman saffron bakal diedarkan di pasaran bermula awal Mac ini.
“Pada ramadhan tahun ini, orang ramai dialukan untuk membeli air saffron ini dan jadikan ianya sebagai pengambilan harian semasa bersahur dan berbuka,” katanya.

Jelasnya, sempena Ramadhan akan datang, orang boleh mengamalkan air minuman saffron agar dapat meningkatkan imuniti tubuh badan serta menyihatkan jantung.
IMedikel TV






