Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Buah-buahan menjadi salah satu pencuci mulut bagi sesetengah individu. Bahkan ada yang mengambil buah-buahan untuk menggantikan sajian ruji mereka bagi individu yang mengamalkan diet.
Namun, ada dalam kalangan kita kurang cakna akan buah-buahan tersebut dengan hanya membasuh ala kadar sebelum menikmatinya.
Adakah anda tahu, buah-buahan juga adalah tercemar sekiranya anda tidak membasuhnya dengan baik dan boleh menyebabkan kesihatan anda terjejas.
Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Sememangnya mengambil buah-buahan sangat baik kerana terdapat pelbagai manfaat, namun sekiranya tidak mengikuti proses pembersihan dengan sewajarnya, anda mungkin akan mengalami alahan atau batuk.
Perkara ini dijelaskan oleh seorang doktor yang berkongsi mengenai perkara itu di laman Facebooknya iaitu, Dr Mazliana Mazlan.
Beliau juga berkongsi cara menggunakan bahan dapur untuk membersihkan buah-buahan sebelum dimakan.
Menurutnya dalam buah-buahan dan sayur-sayuran juga ada sisa-sisa racun serangga. Itu mungkin antara punca yang membuatkan anak batuk dan alergik.
Ibu ayah tidak perlu risau, kalian hanya boleh menggunakan bahan asas dapur untuk membersihkannya.
Ini antara bahan asas yang boleh digunakan untuk membersihkan buah-buahan.
- Garam
- Cuka
- Soda bikarbonat

Jadi, bagi mereka yang gemar membeli buah-buahan atau sayur-sayuran di pasar, anda wajib ada salah satu bahan tersebut untuk membersihkan buah.
Sekiranya anda ingin menggunakan bahan pencuci buah pun tiada masalah, tetapi pastikan ia diperbuat dari bahan semulajadi.
Bagi mereka yang ingin mencuba bahan tersebut, ini adalah ratio yang perlu digunakan:
1. Garam
– 1 sudu kecil garam: 1 cawan air
2. Cuka
– 1 cawan cuka: 3 cawan air
3. Soda bikarbonat
– 2 sudu kecil soda bikarbonat : 4 cawan air

Kacau bagi sebati, dan rendam buah atau sayur dalam 10 – 15 minit.
Anda juga boleh menggunakan rendaman air garam selama 15 minit untuk membersihkan buah-buahan.
IMedikel TV






