LONDON: Jarrod Bowen menamatkan kemarau golnya dengan hatrik ketika West Ham menundukkan pasukan bermasalah Brentford 4-2 untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam sembilan perlawanan awal pagi tadi.
Bowen tidak meledak gol dalam Liga Perdana Inggeris sejak 23 Disember lalu, namun penyerang England itu kembali dengan hatrik bergaya di Stadium London.
Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama sebelum Neal Maupay membalas buat Brentford selepas 13 minit.
Bowen melengkapkan hatrik pertama kariernya selepas rehat sebelum rembatan jarak jauh mengagumkan Emerson menjadikan kedudukan 4-1.
Yoane Wissa mengurangkan defisit pelawat pada lewat perlawanan namun anak buah David Moyes mampu meraih kemenangan pertama mereka sejak menang di Arsenal pada 28 Disember lalu.
Menamatkan catatan tidak menang terpanjang dalam semua pertandingan sejak 1997 penting buat Moyes, yang berdepan tekanan daripada penyokong yang kecewa dalam beberapa minggu kebelakangan.
Moyes masih belum memutuskan sama ada untuk menerima tawaran kelab itu bagi memperbaharui kontraknya dengan perjanjian semasa berakhir pada hujung musim ini.
Selepas tumpas tiga aksi terakhir liga mereka, termasuk kekalahan memalukan 6-0 kepada Arsenal serta tersingkir di tangan kelab divisyen dua Bristol City dalam Piala FA, kemenangan itu melonjakkan West Ham ke tangga kelapan.
“Kami perlu meraih tiga mata. Kami bermain dengan gaya lebih agresif malam ini,” kata Moyes.
“Jarrod kembali ke tahap terbaiknya. Dia memulakan musim dengan amat bagus, kemudian mengalami kecederaan. Jika dia terus menjaringkan gol dia akan berada dalam skuad England bagi Euro 2024.”
Mengenai masa depannya, Moyes berkata: “Apa yang penting buat saya untuk melihat di mana kami berakhir hujung musim ini. Saya seronok di sini.”
– AFP,BH Online-
Imedikel TV






