KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun mencipta nama dalam industri lakonan, pelakon Korea Selatan yang kini popular menerusi drama My Royal Nemesis, Heo Nam Jun bakal mengadakan sesi pertemuan buat pertama kali dengan peminat.
Memetik laporan Harian Metro, perkara itu diumumkan oleh agensinya, H Solid menerusi hantaran di Instagram, semalam.
Menurut agensi berkenaan, acara yang diberi nama HEO’s NEXT? dijadualkan berlangsung di KBS Arena, Seoul pada 22 Ogos depan.
“Judul acara itu melambangkan harapan Nam Jun agar ia menjadi permulaan kepada satu perjalanan baharu bersama peminat yang menyokongnya selama ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Seiring dengan pengumuman itu, poster rasmi acara berkenaan turut dilancarkan memaparkan Nam Jun tampil ringkas mengenakan kemeja-T putih dipadankan dengan jumpsuit denim.
Nama Nam Jun menjadi bualan hangat, baru-baru ini menerusi drama My Royal Nemesis dan lakonannya sebagai Cha Se Gye berjaya memikat hati ramai penonton sekali gus melonjakkan popularitinya.
Menerusi projek seterusnya, Nam Jun bakal melakukan transformasi besar apabila membawakan watak yang jauh berbeza sebagai seorang pejuang kemerdekaan.
Dia disahkan bakal membintangi drama terbitan tvN akan datang berjudul Whale Star: The Gyeongseong Mermaid sebagai Song Hae Soo yang dijadualkan menemui penonton tahun depan. – HMetro Online –
IMedikel TV






