Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan sebanyak 1,175 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif dengan kos keseluruhan bernilai lebih RM12.47 bilion.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam suatu kenyataan semalam berkata pihak KPM proaktif bagi memastikan isu sekolah daif ditangani segera menerusi pelaksanaan inisiatif projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara.
“Sehingga bulan Mac 2025, sebanyak 739 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah siap sepenuhnya, merangkumi 258 projek di Sarawak, 229 projek di Sabah dan 252 projek di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Sebanyak 203 projek sedang dalam pembinaan manakala 233 projek lagi berada pada peringkat prabina,”menurut kenyataan semalam.
Pada tahun 2025, Kerajaan MADANI telah meluluskan pembinaan sebanyak 122 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif baharu di seluruh negara. Ia adalah merupakan jumlah kelulusan tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.
KPM sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan terbaik dapat disediakan demi manfaat murid dan seluruh masyarakat.
IMedikel TV






