Home Buletin Semasa BELANJAWAN 2027: KPDN HARAP SUBSIDI BERKAITAN KEPENGGUNAAN DAN BANTUAN TANGANI SARA HIDUP...

BELANJAWAN 2027: KPDN HARAP SUBSIDI BERKAITAN KEPENGGUNAAN DAN BANTUAN TANGANI SARA HIDUP RAKYAT DIKEKALKAN

Oleh: Wartawan IMedikel TV

PENANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap Belanjawan 2027 terus memberi keutamaan kepada usaha menangani kos sara hidup rakyat.

Ia adalah dengan mempertahankan subsidi berkaitan kepenggunaan serta bantuan kepada rakyat meskipun kerajaan berdepan tekanan fiskal susulan kenaikan harga minyak dunia akibat keadaan geopolitik di Asia Barat.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kementerian itu sudah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dalam sesi libat urus Belanjawan 2027 yang diadakan sebelum ini.

Beliau berkata, antara keutamaan KPDN ialah memastikan subsidi bahan api termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), subsidi minyak masak serta Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah dan Sarawak dapat diteruskan demi menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, kementerian itu juga berharap bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan lain terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 kerana ia memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kos sara hidup.

“Kalau di KPDN, kita berharap subsidi bahan api, subsidi minyak masak dan Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah dan Sarawak dapat dikekalkan.

“Kita juga mencadangkan supaya STR, SARA serta bantuan-bantuan lain diteruskan kerana ia amat penting kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, malam tadi.

Mengulas lanjut, Armizan berkata KPDN adalah antara kementerian terawal yang dipanggil menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2027 bagi mengemukakan cadangan serta keutamaan yang perlu dipertimbangkan kerajaan.

Menurutnya, pelbagai teras penting dibawa KPDN dalam sesi itu dengan penekanan diberikan kepada langkah yang mampu membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan, khususnya MOF, kini berdepan cabaran besar dalam merangka Belanjawan 2027 susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada perbelanjaan subsidi negara.

“Dalam Belanjawan 2026, peruntukan subsidi bahan api dianggarkan berjumlah RM15 bilion, namun perbelanjaan sebenar kini hampir mencecah RM40 bilion berikutan kenaikan harga minyak dunia.

“Meskipun berdepan peningkatan perbelanjaan subsidi, reformasi penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan membolehkan bantuan kepada rakyat terus dipertahankan,” katanya.

Dalam masa sama, Armizan berkata isu kos sara hidup bukan hanya menjadi tanggungjawab KPDN, sebaliknya memerlukan kerjasama merentas semua kementerian bagi memastikan langkah yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, semua cadangan berkaitan kos sara hidup yang dikemukakan kementerian akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 September ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here