Home Buletin Semasa BELANJAWAN 2026: KBS PERKASA USAHA SELENGGARA FASILITI SUKAN ROSAK MENERUSI PERUNTUKAN BELANJAWAN...

BELANJAWAN 2026: KBS PERKASA USAHA SELENGGARA FASILITI SUKAN ROSAK MENERUSI PERUNTUKAN BELANJAWAN 2026

456
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited memperkasa usaha penyelenggaraan fasiliti sukan yang rosak dan usang di seluruh negara menerusi peruntukan sebanyak RM580 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026, semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Abdullah Hassan, berkata peruntukan itu amat signifikan dalam memastikan kemudahan sedia ada sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menyokong pembangunan belia serta sukan negara.

“Sebahagian daripada dana yang diluluskan memang dikhususkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti sukan yang sedia ada dan rosak.

“Fokus utama kini adalah penyelenggaraan, bukan pembinaan baharu. Bagaimanapun, bagi fasiliti baharu yang sedang dibangunkan, ia membabitkan kemudahan untuk SUKMA 2028 yang kini dalam proses pembinaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Masjid Muhammadi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pengumuman kerajaan berkaitan pengecualian bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa IPTA keluarga pendapatan rendah dan menengah yang perolehi Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama.

Bagi pelajar Sarjana Sains Mikrobiologi Perubatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Nur Saidah Ahmad Bakri, 24, menyifatkan langkah itu sebagai satu inisiatif prihatin yang dapat meringankan beban golongan B40.

“Pinjaman PTPTN sebenarnya hanya cukup untuk menampung kos sara hidup sepanjang belajar.

“Apabila kerajaan mengumumkan ia tidak perlu dibayar semula bagi pelajar keluarga miskin yang mendapat Kepujian Kelas Pertama, kami sebagai pelajar sangat menyambut baik,”katanya.

Sementara itu, melalui Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang akan disalurkan pada pertengahan Februari 2026.

Seorang pekerja swasta, Nooraznida Che Anuai, 45, dari Selising, berkata inisiatif tersebut wajar diteruskan kerana walaupun jumlahnya tidak besar, ia tetap membantu meringankan beban isi rumah.

“Sekurang-kurangnya dapat juga membeli barangan keperluan asas. Kalau setiap ahli keluarga berkongsi sumbangan itu, banyak barang boleh dibeli seperti beras, gula dan minyak.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini. Walaupun nampak kecil, ia tetap menggembirakan rakyat terutama yang kurang bernasib baik,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here