Home Buletin Semasa HSN 2025 BUKTI RAKYAT KELANTAN GEMAR GAYA HIDUP SIHAT

HSN 2025 BUKTI RAKYAT KELANTAN GEMAR GAYA HIDUP SIHAT

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sambutan luar biasa sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2025 di Dataran Masjid Muhammadi, di sini, hari ini membuktikan rakyat Kelantan sememangnya gemar bersenam, namun kurang berpeluang untuk membabitkan diri dalam aktiviti fizikal secara besar-besaran.

Seorang peserta, Zaihan Mat Jusoh, 48, yang juga pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, berkata kehadiran ramai peserta daripada pelbagai peringkat umur menggambarkan semangat masyarakat Kelantan terhadap gaya hidup sihat.

“Saya nampak orang Kelantan ini suka bersenam, cuma tak ada peluang. Jadi bila HSN diadakan, semua lapisan masyarakat keluar menyertainya.

“Selalunya kita sibuk bekerja, tiada masa untuk bersenam. Bila ada acara begini, kita boleh bawa anak-anak keluar. Anak-anak pun belajar bahawa bersenam itu satu keperluan, bukan sekadar makan, tidur dan belajar sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau turut berpendapat, program seperti itu bukan sahaja menyemarakkan semangat bersukan, malah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memupuk kesedaran tentang kepentingan aktiviti fizikal.

Zaihan berharap agar program berteraskan sukan dan kesihatan seperti itu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pembangunan fizikal rakyat.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Fatin Maryam Mohd Fizal, 30, dari Tumpat, berkata beliau teruja melihat sambutan hangat masyarakat terhadap program berkenaan memandangkan itu adalah penyertaan pertamanya.

“Saya rasa program seperti ini juga dapat membantu mengurangkan ketagihan gajet dalam kalangan keluarga serta mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak,” katanya.

Sambutan HSN 2025 di Kota Bharu berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti riadah dan sukan santai yang membabitkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus memperkukuh semangat bersukan di negeri ini.


IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here