Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Koperasi Kakitangan IMedikel Kelantan Berhad (KoKIM) melakar satu lagi pencapaian penting apabila berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama 2025 menandakan langkah kukuh koperasi itu dalam memperkasa kebajikan serta ekonomi warga kerja IMedikel.
Majlis yang berlangsung di Wisma IMedikel, di sini, dirasmikan Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Pasir Mas, Mahassan Hussin dan dihadiri ahli KoKIM serta warga pengurusan IMedikel.
Mahassan berkata KoKIM menunjukkan prestasi yang positif bukan sahaja memberi manfaat kepada kakitangan malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“KoKIM berjaya mengadakan mesyuarat agung mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
“Dari segi peningkatan koperasi, kita melihat koperasi mencatat keuntungan walaupun ia masih baru,”katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di sini, hari ini.
Jelasnya KoKIM mempunyai potensi besar untuk berkembang terutamanya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
“Saya lihat KoKIM berpotensi untuk meningkat dalam peluang perniagaan. Tambahan pula kami akan mengubah undang-undang kecil untuk mempelbagaikan aktiviti koperasi supaya dapat menceburi semua bidang.
“Peranan SKM adalah sentiasa membantu koperasi. Kita akan membantu untuk memperbaiki pendapatan pinjaman iaitu tabung modal pusingan SKM, kemudian kita juga menyediakan bantuan berkaitan untuk meningkatkan lagi aktiviti koperasi,”katanya.
Jelasnya, beliau berharap agar ahli KoKIM terus memberi semangat dan sokongan kepada koperasi mereka untuk terus berjaya.
Sementara itu, Pengerusi KoKIM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IMedikel, Azman Abdul Jalil, berkata koperasi berkenaan ditubuhkan bukan untuk pihak tertentu malah untuk kepentingan bersama kakitangan IMedikel.

“Kita punya hasrat besar apabila menubuhkan koperasi. Ia bukan sahaja untuk orang tertentu, bukan semata untuk syarikat tetapi yang penting untuk kakitangan IMedikel itu sendiri.
“Tujuan utama penubuhan KoKIM adalah untuk mendapatkan kewangan dan keuntungan supaya kita dapat kongsi bersama dengan ahli-ahli juga kakitangan IMedikel.
“Kita punya banyak perancangan untuk bantu pendidikan anak-anak, kebajikan dari segi masalah yang dihadapi kakitangan. Jadi semua itu memerlukan dana dan koperasi adalah sumber untuk kita mendapatkan kewangan,”katanya.
Menurut beliau terdapat 14 ahli KoKIM yang sudah berdaftar dan beliau berharap agar lebih ramai kakitangan IMedikel untuk menjadi ahli koperasi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada SKM atas bimbingan dan sokongan yang diberikan sejak penubuhan koperasi itu, selain menyeru semua ahli agar terus berganding bahu memastikan KoKIM menjadi model koperasi berjaya di negeri ini.
Mesyuarat Agung Tahunan Pertama itu turut menyaksikan pembentangan laporan kewangan, pelantikan semula ahli lembaga koperasi serta sesi perbincangan hala tuju dan perancangan aktiviti tahun hadapan.

KoKIM turut diterajui setiausaha, Noorazira Jidin dan bendahari, Syahrul Azlan Mahmood serta barisan ahli yang mantap termasuk Presiden IMedikel, Yusmat Mamat dan Ahli Farmasi IMedikel, Faiz Syahiran Mohamad.
Dalam mesyuarat itu, Azman meletakkan jawatan sebagai Pengerusi KoKIM berkuatkuasa hari ini dan berharap barisan baharu yang dilantik akan menerajui KoKIM dengan lebih efektif.
“Saya yakin ahli lembaga pengarah yang baru ini akan lebih aktif dan agresif lagi. Jadi sokongan amat diperlukan oleh kakitangan IMedikel,”jelasnya.
IMedikel TV






