Home Buletin Semasa KPM TIDAK KOMPROMI KES SALAH LAKU SEKSUAL DI SEKOLAH – FADHLINA

KPM TIDAK KOMPROMI KES SALAH LAKU SEKSUAL DI SEKOLAH – FADHLINA

409
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual yang berlaku di mana-mana institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian salah laku seksual yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini.

Menurut Fadhlina, pihak polis sudah mengambil tindakan segera dan semua suspek yang terlibat telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Saya telah mengarahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memberikan kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Fadhlina turut menegaskan bahawa tindakan paling tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah dalam kes seumpama itu.

“Tiada siapa akan dilindungi! Pesalah mesti dikenakan tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

KPM menegaskan semua pentadbir institusi pendidikan diarah untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang digunapakai dan memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan.

Semalam media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas.

Kejadian itu juga dirakam menggunakan telefon bimbit dan dilihat oleh dua pelajar lain.

Menurut laporan media, kejadian itu terbongkar pada petang Jumaat selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here