Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) terus memperkukuh misi kemanusiaan apabila mengagihkan sebanyak tiga tan metrik barangan bantuan bencana bernilai RM169,000 hasil sumbangan Yayasan Hasanah dan SP Setia Foundation kepada mangsa yang terjejas.
Penyelaras Projek Bantuan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) BBNGO, Prof Madya Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, bantuan tersebut merangkumi keperluan dan barangan sokongan yang disalurkan kepada komuniti terkesan banjir di beberapa lokasi.

“Agihan bantuan daripada Yayasan Hasanah adalah masing-masing 600 unit toto dan kain batik sarung serta kain pelikat, 50 kilogram (kg) buah-buahan serta mainan kanak-kanak dengan jumlah keseluruhan adalah RM139,000.
“Manakala bantuan daripada SP Setia Foundation pula adalah 100 unit lampin bayi, kanak-kanak dan dewasa dengan jumlah sebanyak RM30,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Misi Bantuan Banjir BBNGO Pasir Mas/Rantau Panjang, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong, di sini, hari ini.
Dr Mohd Rizal berkata, BBNGO akan menghantar bantuan bencana kepada lima PPS iaitu SK Kedai Tanjong, SK Gual Periuk, SK Gual Tinggi, SK Gual To’Deh dan SMK Baruh Pial dengan penglibatan seramai 10 sukarelawan serta empat pacuan empat roda dan sebuah lori.

Beliau berkata, sejak 24 November, BBNGO telah menyalurkan bantuan ke 20 PPS di empat daerah terjejas banjir pada fasa pertama melibatkan Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Rantau Panjang.
“Bagi gelombang seterusnya, kita akan bergantung kepada keadaan dan inshaAllah kita akan meneruskan kerjasama strategik dengan kedua-dua Yayasan yang terlibat untuk terus memberikan bantuan dan memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa terjaga,” katanya.
IMedikel TV






