Home Buletin Semasa ELAK BANTUAN BANJIR BERTINDIH, NGO PERLU SELARAS GUNA PLATFORM BBNGO

ELAK BANTUAN BANJIR BERTINDIH, NGO PERLU SELARAS GUNA PLATFORM BBNGO

247
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Pertindihan agihan bantuan banjir di kawasan terjejas dapat dielakkan apabila badan-badan bukan kerajaan (NGO) menyelaraskan bantuan melalui platform Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO).

Penyelaras Projek Bantuan Banjir Monsun Timur Laut (MTL) BBNGO, Prof Madya Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata, langkah itu penting terutama pada peringkat awal pemindahan apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.

“Sejak beberapa tahun lalu, isu bantuan bertindih semakin berkurangan berikutan penyelarasan yang kita laksanakan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai agensi kerajaan lain.

“Dengan penyelarasan dan gabungan ini, pengagihan bantuan menjadi lebih lancar, teratur dan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Misi Bantuan Banjir BBNGO Pasir Mas/Rantau Panjang di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong, di sini, hari ini.

Dr Mohd Rizal berkata, pertindihan akan berlaku sekiranya terlalu banyak NGO bergerak secara sendirian, sehingga ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menerima bantuan berulang kali.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap NGO perlu mematuhi prosedur memasuki PPS, termasuk mendapatkan surat pengesahan daripada pejabat daerah sebagai langkah keselamatan dan penyelarasan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai sebuah NGO yang mendakwa barangan bantuan mereka tidak dibenarkan masuk ke sebuah PPS di Bachok, yang berpunca daripada tindakan NGO berkenaan tidak melalui saluran rasmi dan tiada pemakluman kepada Ketua Jajahan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here