Home Buletin Semasa BAYI EMPAT BULAN MENINGGAL DUNIA DI TASKA HOSPITAL, JKM ARAH TUTUP SEMENTARA

BAYI EMPAT BULAN MENINGGAL DUNIA DI TASKA HOSPITAL, JKM ARAH TUTUP SEMENTARA

97
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius kejadian kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan ketika berada di bawah jagaan di TASKA Pintar Hospital Seberang Jaya yang dilaporkan berlaku pada 9 Mac lalu.

Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, berusia empat bulan tiga hari, dipercayai meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di premis TASKA berkenaan.

Menurut kenyataan JKM hari ini, bayi tersebut ditempatkan di TASKA berkenaan kira-kira sebulan sebelum kejadian selepas ibunya mula bertugas di Hospital Seberang Jaya.

“Sejurus menerima laporan kejadian, Pegawai Kebajikan Masyarakat telah turun ke premis TASKA bagi menjalankan siasatan awal di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang melibatkan aspek perlindungan serta kebajikan kanak-kanak.

“Pada masa sama, pemeriksaan turut dilakukan bagi menilai pematuhan premis terhadap Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) serta peraturan berkaitan pengoperasian TASKA.

“JKM juga telah mengeluarkan Perintah Penutupan Sementara TASKA di bawah perenggan 16(1)(a) Akta 308 terhadap TASKA Pintar Hospital Seberang Jaya yang berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu hari ini.

Selain tindakan penguatkuasaan, JKM turut menyalurkan bantuan sokongan psikososial awal kepada ibu mangsa dan ahli keluarga terdekat bagi membantu mereka menghadapi situasi tersebut.

Dalam pada itu, JKM memaklumkan kes berkenaan kini berada dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Kerajaan menegaskan bahawa setiap TASKA yang berdaftar di bawah Akta 308 wajib mematuhi peraturan ditetapkan termasuk melibatkan kelayakan pengasuh serta prosedur keselamatan kanak-kanak.

“Sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau syarat pendaftaran, tindakan tegas termasuk penggantungan operasi atau pembatalan pendaftaran TASKA boleh diambil,”jelas kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here