Home Sukan BARCA ATASI ALBACETE KE SEPARUH AKHIR COPA DEL REY

BARCA ATASI ALBACETE KE SEPARUH AKHIR COPA DEL REY

244
0

ALBACETE, Sepanyol: Lamine Yamal dan Ronald Araujo menjaringkan gol penting untuk membantu Barcelona mara ke separuh akhir Copa del Rey selepas menang tipis 2-1 ke atas Albacete, awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, juara dengan rekod 32 kali itu terpaksa bekerja keras sehingga minit akhir pada suku akhir yang sengit menentang kelab divisyen kedua yang sebelum ini mengejutkan Real Madrid.

Yamal meletakkan Barca di depan pada minit ke-39, manakala Araujo menjaringkan gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-56 dalam penampilan sulungnya sejak mengambil cuti sebulan atas alasan kesihatan mental pada hujung tahun lalu.

Albacete mencipta beberapa peluang dalam 30 minit terakhir dan Javi Moreno menjaringkan gol tiga minit sebelum tamat, hampir mengejutkan skuad kendalian Hansi Flick.

“Beberapa minit terakhir… ia normal, mereka dapat gol, begitulah bola sepak dan piala,” kata Araujo kepada saluran media Barca.

“Saya amat gembira (boleh kembali memulakan perlawanan), ia langkah penting… pelukan untuk jurulatih, beliau banyak membantu saya.”

Juara bertahan Barca terlepas beberapa peluang baik, sama seperti ketika menang ke atas Elche dalam La Liga Sabtu lalu.

“Perlawanan sukar sampai penghujung, memang amat mencabar. Kami boleh buat ia lebih mudah, banyak peluang terlepas, tetapi saya rasa kami memang layak menang,” kata Flick.

“Saya gembira, bangga dengan pasukan dan kami mara ke separuh akhir, itu yang paling penting.

“Kami perlu menamatkan perlawanan dengan lebih keyakinan,” tegas Flick, yang berpuas hati Araujo menjaringkan gol sewaktu kembali dalam kesebelasan utama.

“Gol itu amat penting buat kami, boleh bantu dia raih lebih keyakinan dan percaya kepada diri sendiri,” ujar jurulatih warga Jerman itu. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here