Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Kucing adalah salah satu haiwan peliharaan yang biasa menjadi peneman kepada peminat kucing di luar sana.
Bagaimanapun, si bulus yang dikategorikan sebagai haiwan peliharaan yang manja juga boleh merisikokan kepada sang pemiliknya.
Mereka yang memelihara kucing sudah pasti pernah berdepan pengalaman terkena cakaran oleh si bulus.
Disebabkan sudah terbiasa dengan hal itu, pemilik lebih senang membiarkan perkara itu begitu sahaja tanpa memandang serius akan hal tersebut.

Namun, tahukah anda sebenarnya kesan cakaran itu mampu mendatangkan kemudaratan sehingga berlakunya gangguan kesihatan kepada individu.
Mengikut pakar veterinar Amerika Syarikat (AS), Dr Patrick Mahaney, kuku haiwan comel ini sebenarnya lebih tajam berbanding binatang lain seperti anjing. Disebabkan itu kesan cakaran mampu mengakibatkan trauma dan boleh berlakunya jangkitan kuman.
Menurut Hello Doktor, cakaran kucing sebenarnya boleh mendatangkan sejenis penyakit yang dinamakan cat scratch disease (CSD).
Penyakit yang berpunca daripada kucing ini akan tersebar melalui infeksi luka akibat cakaran mahupun gigitan kucing yang terjangkiti CSD.
Kesan luka boleh tersebar sekiranya kucing menjilat bahagian luka sehingga menyebabkan kemerahan dan boleh mengakibatkan bengkak serta kesakitan.
CSD ini dikenali sebagai penyakit yang disebabkan oleh bakteria, Bartonella Henselae. Dianggarkan sekitar 40 peratus daripada kucing terutamanya berumur setahun ke bawah membawa bakteria ini dalam tubuh mereka, namun tidak menunjukkan tanda berbahaya.
Kesan cakaran juga akan menyebabkan kelenjar limfa membengkak dan berlakunya peningkatan sel darah putih yang bertindak untuk melawan bakteria.
Disebabkan itu, pesakit mungkin akan mengalami demam gred rendah, lesu atau sakit kepala.
Dalam pada itu cakaran kucing turut dikhuatiri akan menjejaskan imuniti badan untuk melawan penyakit.

Ketahui tanda-tanda
- Muncul benjol bernanah dan cecair pada bahagian luka.
- Demam.
- Pening kepala.
- Hilang selera makan.
- Keletihan.
Terdapat beberapa kaedah rawatan antaranya:
- Individu yang mengalami cakaran kucing perlu mendapatkan rawatan CSD segera kerana bimbang akan terkena komplikasi otak, mata, jantung dan pelbagai organ dalaman lain. Meskipun perkara ini jarang berlaku, tetapi sebaiknya ambil langkah berjaga-jaga.
- Basuh luka gigitan atau cakaran kucing dengan menggunakan air dan sabun.
- Jika bahagian cakaran ada kesan luka pendarahan, tekan kawasan luka dengan kain atau kapas bersih.
- Dapatkan rawatan doktor jika jangkitan makin melarat atau perlukan nasihat lanjut.
IMedikel TV






