Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Melangkah sahaja ke bazaar Ramadan, gerai jualan ayam bakar pusing pastinya menarik perhatian dengan kepulan asap dan dikerumuni orang ramai.
Ayam pusing atau lebih dikenali ayam golek dalam kalangan rakyat Kelantan, menjadi antara juadah berbuka puasa yang tidak asing lagi.
Tinjauan IMedikel TV di bazaar Ramadan sekitar Stadium Muhammad ke IV mendapati, seorang peniaga ayam bakar pusing madu berempah, Mohamad Awang 62, menjual lebih 100 ekor ayam pusing setiap hari.
Menurut Mohamad, Ramadan kali ini membawa limpahan rezeki buatnya, dengan sambutan pelanggan yang menggalakkan.
“Alhamdulillah, ayam pusing madu berempah yang saya jual mendapat sambutan sehingga habis dijual kira-kira lebih 100 dalam masa sehari.
“Mungkin jualan ini akan lebih bertambah pada hari berikutnya,” katanya.
Katanya hampir 10 tahun lalu dia masih menggunakan resipi turun temurun bagi mengekalkan rasa, rempah dan aroma yang menjadi juadah kesukaan ramai ketika bulan Ramadan.
Mohamad berkata, proses membakar ayam mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit.
Tambahnya, ayam tersebut turut dijual pada harga RM28 berbanding tahun lalu RM27 berikutan kos kenaikan harga bahan mentah.
“Ayam yang kita jual sekitar 2 kilogram seekor dan dipanggang selama 1 jam 30 minit.
“Harga ayam mentah juga naik sekarang ini, jadi apabila kesemua ada kenaikan harga, jadi kita terpaksa naik harga juga untuk jualan cuma tidak banyak hanya RM1 sahaja, dan kita pun tidak menganiaya pembeli,” katanya.
Tambah Mohamad, bukan sahaja kos bahan mentah yang meningkat, namun harga arang juga meningkat memandangkan dia perlu menggunakan kuantiti arang yang banyak untuk membakar ayam tersebut.
“Saya berniaga ayam bakar pusing, sudah pasti memerlukan arang yang banyak sebab kita perlu membakar dan menghidupkan api, pada musim sekarang harga arang juga meningkat, daripada RM30 jadi RM40, jadi terpaksa juga naik harga,” katanya.
Katanya setakat ini dia dibantu oleh tiga pekerja untuk memotong ayam yang siap dibakar dan dijual kepada pembeli.
Tambahnya dia turut menghasilkan sendiri colek ayam pusing dan menawarkan jualan produk tersebut dengan harga RM10 sebotol bagi mereka yang berminat untuk membelinya.
IMedikel TV






