Home Hiburan ATIQ AZMAN KECEWA PEMPENGARUH ‘RAMPAS’ PELUANG PELAKON

ATIQ AZMAN KECEWA PEMPENGARUH ‘RAMPAS’ PELUANG PELAKON

420
0

KUALA LUMPUR: Pelakon, Atiq Azman, tampil lantang menyuarakan kekecewaan terhadap trend produksi yang didakwa semakin ghairah memilih pempengaruh media sosial (influencer) sebagai pelakon ‘ekspres’, sekali gus menafikan peluang buat pelakon berpengalaman.

Memetik laporan Berita Harian, Atiq atau nama penuhnya Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 25, berkata industri kreatif sepatutnya mengutamakan kualiti lakonan, bukan sekadar mengejar populariti di media sosial.

“Saya bukan tak ada kerja lain, boleh saja buat benda lain. Tapi kenapa saya nak berlakon? Sebab saya nak tunjukkan kualiti lakonan, bukan populariti semata-mata.

“Sekarang sikit-sikit ambil influencer entah siapa, terus diberi peluang berlakon. Mana keadilannya untuk pelakon yang ada asas?” katanya menerusi hantaran di Threads.

Luahan itu tercetus selepas ada netizen melabel dirinya artis ‘sendu’ kerana jarang muncul di layar kaca sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu Atiq menepis tanggapan nakal yang mengatakan dia iri hati dengan rezeki orang lain, sebaliknya menegur agar produksi tidak terlalu longgar memilih pelakon hingga merosakkan kualiti drama dan filem.

“Come on, saya tak dengki dengan rezeki orang lain. Tapi untuk industri Malaysia, takkan nak main ambil siapa saja tanpa tengok mutu lakonan?

“Sebenarnya ramai pelakon lain pun hadap benda sama. Tak kisah artis baru atau lama, bila ada muka baru naik TV, akan timbul soalan sama – layak ke mereka?” tegasnya.

Dalam nada lebih berani, pelakon drama rantaian popular Nur dan Nur 2 itu turut menegur sikap segelintir pelakon baharu yang leka dengan telefon pintar dan tidak menghormati set penggambaran.

“Dekat set, perangai ada yang langsung tak profesional. Bila dah rasa berada di atas, mula pandang rendah orang lain. Saya tak kata saya paling bagus, tapi bila benda sama berulang kali berlaku, ia memang mencacatkan imej industri,” kata Atiq.

Walau jarang menerima tawaran ketika ini, menegaskan dia tidak pernah terlintas untuk meninggalkan dunia seni.

“Saya takkan berhenti berlakon. Impian saya nak harumkan nama Malaysia sampai ke peringkat antarabangsa.

“Memang saya ada kelemahan, banyak yang perlu diperbaiki, tapi saya percaya rezeki Allah tak pernah putus. Akan ada masa yang lebih baik nanti, insya-Allah,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here