Home Sukan ARUWIN HARUMKAN MALAYSIA DI SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK

ARUWIN HARUMKAN MALAYSIA DI SUKAN OLIMPIK MUSIM SEJUK

212
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian atlet ski alpine negara, Aruwin Salehuddin membanggakan Malaysia apabila muncul atlet terbaik Asia dalam acara slalom wanita di Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, semalam.

Pada saingan di Pusat Ski Alpine Tofane itu, Aruwin menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 minit 54.82 saat (s) untuk menduduki tempat ke-44 daripada 53 pelumba yang berjaya menamatkan kedua-dua larian.

Pingat emas menjadi milik jaguh Amerika Syarikat, Mikaela Shiffrin yang mencatat masa 1:39.10s, diikuti Camille Rast dari Switzerland (1:40.60s) manakala gangsa diraih Anna Larsson dari Sweden (1:40.81s).

Bagi Aruwin, pencapaian itu menebus kekecewaannya apabila gagal menamatkan perlumbaan pada penampilan sulungnya di Beijing 2022.

Lebih membanggakan, atlet berusia 22 tahun itu muncul pemain terbaik Asia, mengatasi tiga lagi pelumba benua itu iaitu Tallulah Proulx dari Filipina (ke-50), Wen Yi Lee dari Taiwan (ke-52) dan Sadaf Savehshemshaki dari Iran (ke-53).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, mengucapkan tahniah atas pencapaian itu sambil menyifatkan Aruwin sebagai simbol kebangkitan atlet sukan musim sejuk negara di pentas dunia.

“Kami amat berbangga apabila beliau muncul pelumba terbaik dalam kalangan empat atlet Asia yang menamatkan perlumbaan. Ini satu pencapaian yang cukup membanggakan negara,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here