LONDON: Arsenal kembali merampas kedudukan teratas carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Brighton di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, The Gunners memulakan perlawanan dengan sempurna apabila Martin Odegaard meledak gol pembukaan dari luar kotak penalti pada minit ke-14.
Bersambung selepas rehat, tuah memihak kepada tuan rumah apabila Georginio Rutter tertanduk bola ke gawang sendiri sekali gus meletakkan Arsenal selesa mendahului 2-0.
Brighton bagaimanapun mengurangkan defisit menerusi Diego Gomez untuk menghidupkan semula harapan The Seagulls.
Bagaimanapun, Arsenal kental menghadapi tekanan lewat Brighton untuk mengesahkan tiga mata penuh dan kembali ke puncak liga.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta berkata, jaringan lebih besar sepatutnya diraih dalam aksi itu namun beliau tetap lega apabila berjaya menggenggam tiga mata di depan penyokong sendiri.
“Kemenangan ini sepatutnya dengan margin lebih besar. Kami mencipta banyak peluang terbuka dan ia tidak sepatutnya berakhir 2-1,” katanya selepas aksi itu.
Ketika ini, Arsenal berada di puncak liga dengan 42 mata di depan Manchester City yang hanya dibezakan dua mata, selepas masing-masing mengharungi 18 aksi setakat ini. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






