Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seramai 400 penerima terdiri daripada 300 armalah (ibu tunggal) dan 100 anak yatim menerima Sumbangan Ad Hoc Fasa 2 pada Majlis Penyampaian Sumbangan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil yang berlangsung semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil, Hilmi Abdullah berkata, kehadiran para ibu tunggal, anak-anak yatim serta masyarakat setempat yang memenuhi dewan mencerminkan semangat kebersamaan dan kasih sayang yang terus subur dalam komuniti.
“Program kebajikan itu adalah antara legasi yang diperkasakan Allahyarham Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menekankan bahawa pemerintahan menurut Islam bukan sekadar membangunkan infrastruktur, malah mengutamakan kebajikan golongan yang memerlukan.
“Menerusi falsafah Membangun Bersama Islam, golongan armalah dan anak yatim perlu terus diberi perhatian agar mereka merasai kasih sayang kerajaan dan masyarakat,”katanya menerusi laman rasmi.
Beliau berharap sumbangan yang disalurkan dapat memberi kegembiraan serta meringankan beban para penerima, di samping mendoakan agar segala usaha kebajikan itu menjadi asbab turunnya rahmat dan keberkatan kepada Negeri Kelantan serta seluruh rakyat.
“Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat memberi sedikit kegembiraan dan meringankan beban para penerima. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan keberkatan kepada para penerima, petugas dan setiap insan yang menghulurkan bantuan.
“Semoga DUN Guchil terus menjadi sebuah komuniti yang penyayang, saling menyantuni dan sentiasa memelihara kebajikan golongan yang memerlukan.
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia yang lain.
“Semoga Allah SWT menerima setiap usaha ini sebagai amal soleh dan menjadikannya asbab turunnya rahmat serta keberkatan kepada negeri Kelantan dan seluruh rakyatnya,”katanya.
IMedikel TV






