Home Sukan ARAB SAUDI CALON TUNGGAL TUAN RUMAH PIALA DUNIA 2034

ARAB SAUDI CALON TUNGGAL TUAN RUMAH PIALA DUNIA 2034

LAUSANNE: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan hanya Arab Saudi menunjukkan minat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Keputusan negara mana yang bakal dipilih akan diputuskan akhir tahun depan, dengan syarat semua kriteria teknikal dipenuhi.

Arab Saudi yang sudah melabur banyak dalam bola sepak, Formula Satu dan golf, bersedia untuk menganjurkan Piala Dunia selepas Sepanyol, Portugal, Maghribi dan negara-negara Amerika Selatan berkongsi penganjuran edisi 2030.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Bidaan Arab Saudi itu dibuat setahun selepas Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah, dan pasukan kebangsaan Arab Saudi mengejutkan dunia apabila menumbangkan Argentina di peringkat kumpulan sebelum Lionel Messi dan rakan sepasukannya muncul juara Piala Dunia.

Selepas bidaan penuh untuk edisi 2030 dan 2034 diserahkan kepada FIFA, penilaian akan dilakukan sebelum undian dibuat pada mesyuarat kongres badan induk bola sepak dunia itu hujung tahun depan.

Sekiranya tiada pesaing lain yang membida, Arab Saudi dilihat berpeluang cerah untuk diumumkan sebagai tuan rumah dengan edisi 2034 adalah giliran benua Asia untuk menganjurkannya.

Arab Saudi pada mulanya berminat untuk membida Piala Dunia 2030 bersama Mesir dan Greece, namun cadangan itu terpaksa dilupakan selepas FIFA memberi keutamaan kepada idea penganjuran membabitkan tiga benua yang bakal memasuki tahun ke-100 saingan itu.

Hasil daripada penggiliran benua itu, FIFA hanya membuka tawaran kepada anggota konfederasi Asia dan Oceania untuk memohon penganjuran Piala Dunia 2034 nanti.

Australia yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk membida, akhirnya secara rasmi menarik diri dan meninggalkan Arab Saudi sebagai calon tunggal dari Asia.

“Kami membatalkan hasrat membida hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 selepas mengambil kira semua faktor dan kami mencapai kesimpulan untuk tidak berbuat demikian,” kata Persatuan Bolasepak Australia dalam satu kenyataan. – AFP-

-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here