Home Buletin Semasa APM SEDIA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

APM SEDIA HADAPI MONSUN TIMUR LAUT

147
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan I Medikel TV

PASIR MAS: Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersedia menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan memastikan kekuatan sumber tenaga dan aset berada dalam keadaan baik.

Pegawai APM daerah Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain, berkata pihaknya menjalani latihan persiapan MTL, di Danau Tok Uban, di sini, yang membabitkan tiga siri.

“Kita buat latihan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut bagi APM Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Kalau ikutkan tiga siri. Siri pertama bahagian bot, siri kedua bahagian perubatan dan penyelamat, siri ketiga merangkumi asas kepada pengurusan bencana,” katanya.

Katanya, APM Pasir Mas dan Rantau Panjang mempunyai hampir 150 kekuatan anggota dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagi APM Pasir Mas, kita ada hampir 150 yang boleh dikerah apabila berlaku bencana. Yang mana kita merangkumi 150 ni APM Pasir Mas dan Rantau Panjang dan kita ada hampir 12 aset bot, kita letakkan di setiap lokasi panas di Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Biasanya kita letak tempat yang sentiasa terputus hubungan, di Lubuk Stol, di Bongor dan tempat yang sukar kita nak masuk. Jadi, apabila kita letak aset-aset kita di lokasi terpilih supaya anggota kita ni mudah nak capai, biasanya kita letak berdekatan dengan rumah anggota untuk memudahkan pihak kami melakukan operasi menyelamat,” katanya.

Menurut Mohd Arif, antara latihan yang dijalankan termasuk pengenalan pengurusan bot, pengenalan peralatan penyelamat kepada peserta, latihan di air termasuk teknik pengapungan dan cara menyelamat mangsa.

“Kita cuba praktikkan contoh kita nak anggota kita ni berani, kita buat latihan water confident, ramai dah yang berani, pada awalnya fobia air, kita nampak sudah yakin.”

Katanya seramai 40 peserta menjalani latihan tersebut termasuk 10 jurulatih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here